Kesihatan Lelaki

Rawatan sakit tuan, Erectile Dysfunction (ED)

Erectile Dysfunction

Hubungan seks adalah faktor yang penting atau paling tidak pun yang boleh menguatkan ikatan suami isteri. Belum mendirikan rumahtangga, ramai lelaki yang was-was dengan kemampuan diri sendiri dari segi batin. Masalah mati pucuk menjadi kerisauan utama apabila hendak mendirikan mahligai.

Apa itu mati pucuk? Mati pucuk (Erectile Dysfunction,ED) terjadi apabila seseorang lelaki itu tidak mampu atau gagal mengekalkan ereksi yang cukup untuk melakukan hubungan seks. Mati pucuk turut dikenali sebagai lemah tenaga batin dan ianya merupakan satu penyakit yang bersifat semula jadi.

Mati pucuk biasanya disebabkan oleh aliran darah rendah ke zakar atau masalah dengan saraf yang mengawal ereksi. Masalah ini juga disebabkan oleh beberapa faktor lain seperti pengerasan arteri, tekanan darah tinggi dan kolestrol yang tinggi atau diabetes. Keadaaan ini menyempitkan saluran darah dan mengurangkan aliran darah ke zakar atau merosakkan saraf bagi ereksi.

Perlu diingatkan, simptom mati pucuk tidak merujuk kepada keadaan mandul atau ketidakupayaan seseorang untuk memancutkan air mani atau berejakulasi. Namun keadaan-keadaan tersebut berkait rapat dengan keadaan mati pucuk.

Tanda-tanda mati pucuk.

Bukanlah suatu yang luar biasa bagi lelaki yang mempunyai masalah mati pucuk tapi masih lagi ramai yang malu untuk berjumpa dan dapatkan nasihat dari doktor. Kita mulakan dengan kenal pasti tanda-tanda masalah mati pucuk.

  • Zakar mengalami kesukaran untuk menegang ketika melakukan hubungan seksual.
  • Kesukaran untuk mengekalkan ketegangan atau ereksi hingga ke akhir aktiviti seks.
  • Zakar terlihat tidak mempunyai ketegangan yang ketara atau memuaskan.
  • Tanda-tanda tersebut berlaku secara berterusan dalam tempoh 6 bulan.
  • Tanda-tanda mati pucuk tersebut menjadikan seseorang individu mengalami tekanan yang ketara.
  • Tiada ‘morning wood’ apabila bangun dari tidur.

Punca mati pucuk.

Secara umumnya, masalah erectile dysfunction atau mati pucuk terbahagi pada dua punca. Pertama dari segi psikologikal, lelaki mungkin mengalami keresahan, naik angin (mood swings), kemurungan, kebimbangan yang melampau, insomnia dan risau dengan kemampuan seksual. Kekurangan dan ketidakstabilan hormon juga berkait rapat.

Keduanya dari segi fizikal, gejala penyakit medikal mungkin melibatkan pendarahan yang lemah di bahagian kaki atau nafas singkat apabila disertai senaman (kemungkinan penyakit jantung). Masalah perubatan seperti diabetes dan tekanan darah tinggi yang boleh menyempitkan saluran darah (arteriosclerosis). Malah jika berlaku kecederaan atau masalah saraf pada zakar juga boleh menjadi punca.

Faktor lain termasuk merokok, mengambil dadah, minum alkohol dan strok. Tahukah anda jika berbasikal berpanjangan juga menjadi salah satu punca kerana ianya boleh menekan saraf dan mempengaruhi aliran darah ke zakar, boleh membawa kepada masalah mati pucuk sementara atau kekal.

Rawatan yang disediakan.

Berikut sekadar untuk pelajaran umum, bukan untuk menggantikan nasihat dari doktor. Sila ke mana-mana klinik yang berdekatan untuk dapatkan konsultasi doktor.

Konsultasi dan pemeriksaan fizikal.

Bagi kebanyakan lelaki, cukup jika doktor mengambil sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal untuk doktor mendiagnosis masalah mati pucuk serta rawatan yang diperlukan. Doktor perlu melihat sekiranya anda mempunyai masalah kesihatan yang kronik atau doktor anda mengesyaki ada masalah lain yang turut terlibat, anda mungkin perlu melalui ujian lain atau mendapatkan konsultasi daripada doktor pakar.

Ujian Psikologi.

Selain itu, bukan ujian dari segi pemeriksaan fizikal sahaja malah doktor juga akan jalankan ujian psikologi. Doktor akan menanyakan beberapa soalan untuk menapis kemurungan dan kemungkinan punca psikologi yang mengakibatkan mati pucuk lelaki. 

Ubat-ubatan.

Ubat mati pucuk yang paling kerap disyorkan digelar sebagai PDE 5 inhibitors (PDE 5). Ada beberapa jenis PDE 5 di pasaran, antaranya:

  • Sildenafil (juga dikenali sebagai Viagra)
  • Tadalafil (Caliberi, Cialis)
  • Avanafil (Spedra, Stendra

Kebiasaanya ubat-ubat ini mendapat tindakbalas yang positif dari pesakit. Cara merawat mati pucuk ubat ini sama fungsinya dengan pil-pil erectile dysfunction lain, menghasilkan ereksi dengan mengendurkan saluran darah dan meningkatkan aliran darah ke zakar, yang membawa kepada ereksi.

Pencegahan.

Kebanyakan lelaki, masalah mati pucuk adalah disebabkan atau diakibatkan oleh pilihan gaya hidup. Jangan lupa bahawa gaya hidup sihat juga memainkan peranan besar dan boleh boleh membantu untuk merawat masalah mati pucuk. Berikut adalah cara untuk cegah masalah mati pucuk :

  • Jika anda merokok, sila hentikan. Sekiranya anda mengalami masalah untuk berhenti merokok, dapatkan pertolongan. Boleh gantikan nikotin dengan benda-benda manis seperti gula-gula atau boleh tanyakan pada doktor mengenai preskripsi ubat yang boleh membantu anda untuk berhenti merokok.
  • Kurangkan berat badan. Mengalami berat badan berlebihan boleh mengakibatkan atau membuatkan masalah mati pucuk lelaki semakin teruk.
  • Senaman boleh membantu mengatasi masalah dalaman yang berkaitan dengan mati pucuk melalui pelbagai cara. Ini termasuk mengatasi tekanan, membantu mengurangkan berat dan meningkatkan aliran darah.
  • Dapatkan rawatan untuk masalah alkohol dan dadah. Terlalu banyak minum (alkohol) atau pengambilan dadah boleh menimbulkan masalah mati pucuk atau menimbulkan masalah kesihatan jangka masa panjang.
  • Cari jalan penyelesaian bagi masalah perhubungan. Sekiranya anda ada masalah komunikasi dengan pasangan atau sedang mengalami masalah peribadi, sila dapatkan khidmat kaunseling dengan segera bersama pasangan anda.

Sebaik sahaja doktor telah memeriksa sejarah perubatan dan seksual anda, doktor akan memutuskan apa kaedah rawatan yang terbaik untuk anda, dengan faedah dan risiko yang berkaitan. Jangan diamkan diri jika anda mengalami masalah berikut, jom dapatkan nasihat dari doktor jadi doktor boleh cadangkan rawatan dan ubat untuk membantu anda. Jika perlu doktor akan serahkan pada pakar.

Artikel ditulis oleh Eera NN

Dikemaskini pada Apr 19, 2023

Masih belum jumpa apa yang anda cari?

Jika anda masih ada soalan yang perlukan jawapan, doktor kami sedia membantu anda. WhatsApp kami untuk janji temu.

Ikuti kami di sosial media

Penafian: Maklumat yang terkandung di dalam laman ini hanyalah untuk tujuan perkongsian informasi sahaja dan bukan sebagai gantian kepada nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan oleh doktor. Sentiasa dapatkan nasihat daripada doktor untuk sebarang persoalan berkenaan isu perubatan anda. Jangan berlengah untuk dapatkan nasihat perubatan, mengabaikan nasihat perubatan atau berhenti mengambil rawatan disebabkan oleh maklumat di dalam laman ini. Setakat yang dibenarkan oleh undang-undang, Uzma Group PLT (LLP 0003605-LGN) tiada liabiliti atau bertanggungjawab untuk tuntutan, kesilapan atau pengabaian di dalam laman ini, dan boleh meminda material pada bila-bila masa tanpa sebarang notis.

Disyorkan untuk anda

0 Comments

Submit a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CALL KAMI